suria

Mayat Bayi Ditemui Dalam Tandas Klinik Kesihatan

BUTTERWORTH: Mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam tangki air pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth di sini, Rabu.

Mayat bayi dalam keadaan bogel itu ditemui pada pukul 9.10 pagi oleh seorang pesakit wanita yang ke klinik itu untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya bayi itu dilahirkan dalam tempoh 24 jam lepas.

"Wanita itu yang menggunakan tandas berkenaan mendapati tiada air dalam pam tandas itu dan dia yang membuka penutup tangki itu mendapati ada bayi lelaki dalam keadaan duduk di dalamnya," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati bayi seberat 1.7kg itu berusia tujuh bulan dan tali pusatnya telah dipotong.

Abdul Rahman berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

"Kami telah mengambil keterangan saksi di tempat kejadian dan memeriksa kamera litar tertutup di klinik serta senarai daftar pesakit bagi mengesan ibu bayi berkenaan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Polis, Klinik Kesihatan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain