suria

Air Mentah Bekas Lombong Selamat Digunakan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor sekali lagi menegaskan langkah menggunakan air mentah dari bekas lombong untuk menampung keperluan air di Lembah Klang mematuhi segala parameter ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai jumlah kandungan logam seperti plumbum dalam bekas lombong sebab ia masih di bawah paras dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Katanya, air lombong yang dipam ke Sungai Selangor sebelum dirawat di Loji Pembersihan Air Empangan Sungai Selangor perlu melalui beberapa proses rawatan untuk pembersihan serta diwajibkan melepasi pemeriksaan kualiti mengikut piawaian yang ditetapkan selepas disalurkan kepada pengguna.

"Perlu diingatkan kepada pengguna bahawa air yang disalurkan ke paip-paip mereka bukan air mentah tetapi air terawat yang telah melepasi beberapa proses rawatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan exco di sini, Rabu.

Dr Ahmad Yunus yang dilantik sebagai jurucakap kerajaan negeri berhubung isu air berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mengatakan antara lain kandungan air bekas lombong yang dipam ke Sungai Selangor tidak selamat.

Dr Ahmad Yunus berkata, dakwaan laporan itu yang mengatakan terdapat 460 peratus kandungan plumbum dalam bekas lombong adalah tidak benar sedangkan Jabatan Kimia mengesahkan jumlah kandungan plumbum masih terkawal serta belum melebihi tahap berbahaya.

Sementara itu dalam sidang akhbar sama, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata pensampelan kualiti air dilakukan di lima bekas lombong pada 2 Mei lepas dan 27 parameter diuji merangkumi kategori fizikal, logam dan logam berat.

Hasil kajian itu menunjukkan parameter logam berat dalam kolam terbabit mematuhi had piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata meskipun terdapat beberapa parameter di dalam kumpulan logam melebihi piawaian ditetapkan, namun ia adalah kuantiti sedikit dan boleh dirawat oleh loji pembersihan air.

Katanya, pihak LUAS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba memberikan gambaran salah terhadap kualiti air mentah dari kolam-kolam yang dijadikan sumber air alternatif.
Air Selangor, Sunngai Selangor

Artikel Lain