PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemelut politik Terengganu sebagai satu pengajaran yang memberi kesempatan untuk memperkukuh barisan kepimpinan Barisan Nasional di negeri itu. Najib yang juga Presiden Umno berkata, perkara itu berpunca daripada komunikasi tidak jelas antara beliau dan bekas Menteri Besar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik. "Perkara ini berlaku kerana ada sedikit tidak faham pada keadaan tertentu tetapi kita leraikan dalam masa yang singkat. "Saya harap apa yang dilalui sebagai satu pengajaran dan satu kesempatan bagi kita memperkukuh barisan kepimpinan di Terengganu supaya lebih bersatu dan lebih mantap untuk terus berjuang dan memastikan sokongan rakyat kepada BN terus meningkat," katanya pada sidang media di sini, Khamis. Sebelum itu, beliau merasmikan Auto Forum 2014 Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ahmad pada Isnin lalu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu. Pada sebelah malamnya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Ahmad pada hari yang sama mengumumkan keluar Umno dan menjadi Adun Bebas diikuti dengan Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka kembali ke pangkuan Umno dan isu itu dianggap selesai semalam. Najib mengucapkan penghargaan kepada Ahmad, Ghazali dan Roslee atas semangat yang mereka tunjukkan iaitu meletakkan kepentingan parti daripada segala-galanya. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua Adun BN Terengganu yang telah melafazkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya dan Ahmad Razif," katanya. Najib berkata beliau juga akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahmad pada Sabtu ini di Teluk Kalong, Kemaman. Ditanya mengenai apa yang membuatkan Ahmad kembali ke pangkuan Umno, Najib berkata, kemelut itu selesai dengan baik apabila beliau mendengar penjelasan sebenar daripada Ahmad melalui perbualan telefon. "Memang tarikh kenduri tidak dimaklumkan kepada saya dan (Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden (Umno) Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Kami berdua fikir bahawa kenduri pada 10 Mei lalu sudah selesai. Kami tidak diberitahu pada Sabtu ini ada satu lagi majlis. "Inilah menjadi punca berikutan komunikasi tidak jelas...semua ini dapat diatasi apabila mendengar penjelasan sebenarnya," katanya. Najib berkata, Ahmad juga memaklumkan bahawa beliau terlalu cinta pada Umno dan tidak boleh tinggalkan parti tunjang BN itu. "Saya hendak melahirkan penghargaan saya kepada beliau dan selepas ini kita terus berjuang bersama," kata perdana menteri. Najib mengakui pada mula-mula beliau terperanjat mendengar khabar mengenai tindakan Ahmad untuk keluar parti. "Saya rasa bahawa pada kesudahannya beliau akan sedar bahawa sebagai anggota parti, kita tertakluk pada disiplin parti dan kita mesti meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya. Apabila ditanya kemelut politik Terengganu akan menjadi panduan bagi Umno menghadapi cabaran pada masa akan datang, Najib berkata setiap situasi berbeza. "Yang penting adalah memastikan nilai disiplin dalam parti dan ini mesti kita pelihara dan perkukuhkan. "Mana-mana parti tidak ada disiplin, tidak akan berjaya," katanya.