suria

Hudud: PAS Diberi Kata Dua

GEORGE TOWN: DAP mengancam akan menamatkan hubungan dengan PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya kerajaan PAS Kelantan meneruskan usaha membawa usul rang undang-undang mengenai hukum hudud ke Dewan Rakyat.

Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy berkata, pendirian DAP amat jelas dan tidak berubah iaitu menentang pelaksanaan hukum hudud.

"Kita mesti tegas dalam hal ini. Kita tidak akan benarkan hudud dilaksanakan dalam negara yang berbilang kaum ini.

"Jika usul ini diteruskan dan Barisan Nasional (BN) menyokong usaha itu, ia merupakan penamat kepada hubungan DAP dengan PAS," katanya ketika berucap pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor di Kampung Hijau,  Air Itam di sini, malam Ahad.

Beliau percaya penangguhan hukum hudud itu akan bersifat sementara tetapi DAP tidak akan membenarkan perkara ini berlaku.

"Jika PAS tidak setuju, kami tidak akan berkompromi. Kami menghormati orang Islam jadi mereka harus menghormati kami juga," katanya.

Terdahulu, calon Bebas Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sulit menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Walaupun Guan Eng sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri menolak hudud di Pulau Pinang, Mohamed Nabi Bux tetap mendakwa ketua menteri Pulau Pinang itu menyokong hukum hudud demi mengambil hati pemimpin PAS.

Ditanya bila Guan Eng menyatakan sokongannya terhadap hukum hudud, Mohamed Nabi Bux berkata: "Dia tidak akan beritahu saya atau rakyat, beliau akan beritahu pemimpin PAS."

Turut hadir pada ceramah itu adalah Naib Pengerusi DAP, Dr Ariffin Omar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah dan  exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Dr Afif Baharudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya.
DAP, PAS, Hudud

Artikel Lain