suria

Cederakan Isteri Dengan Parang, Suami Dipenjara Sehari

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki yang mencederakan isterinya dengan sebilah parang akhirnya dibalas dengan hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memutuskan hukuman itu terhadap Tahrin Husin, 35, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan berkenaan terhadap Kamarnor Azleen Kamaruddin.

Siti Shakirah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Tahrin didakwa melakukan kesalahan itu di Projek Perumahan Rakyat Sri Alam, Jalan 1/78 Off Jalan Istana di sini pada 2 pagi, 17 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman berkenaan.

Ketika rayuan, tertuduh memohon supaya dijatuhkan hukuman ringan kerana isterinya telah memaafkannya selain perlu menyara dua anak kecil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vasugi Krishnan.
cederakan isteri, parang

Artikel Lain