suria

Bantahan Depan Ibu Pejabat PKR Satu Demokrasi -Johari Abdul

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menyembunyi  perpecahan yang berlaku dikalangan ahlinya dengan menganggap himpunan bantahan  pemilihan parti yang diadakan di luar ibu pejabatnya pada malam Selasa sebagai masalah remeh.

Malah, bagi mengaburi mata rakyat berkenaan isu tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Johari Abdul  menganggap bantahan itu sebagai tindakan berdemokrasi daripada ahli.

"Anggota boleh berkumpul untuk kita mendengar aduan mereka...mereka ada hak.

"Berkumpul secara aman untuk suarakan masalah tak ada masalah (kepada parti). Ia satu proses yang lumrah, kita pun bukan baru dengan demonstrasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Johari berkata, perhimpunan yang dihadiri seramai 60 orang itu merupakan demonstrasi aman.

"Mereka minta kita segerakan  tindakan untuk melihat aduan dan bantahan mengenai pemilihan parti.

"Kita akan meneliti satu persatu aduan dan bantahan mengenai proses pemilihan yang dikemukakan dan membuat penyelesaian," katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sungai Petani itu memberitahu, JPP perlu membuat penelitian terhadap masalah atau aduan yang dikemukakan dan mendengar keterangan sebelum membuat keputusan dengan adil.

"Kita faham mengenai keterbatasan masa dan perkara ini perlu dilakukan dengan pantas.

"JPP juga akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin tapi dalam masa yang sama kita juga tidak mahu keputusan yang diambil mencetuskan masalah baharu," katanya.

Secara amnya, Johari berkata, banyak aduan diterima secara berkumpulan daripada cabang tertentu, individu atau calon bertanding yang tidak puas hati dengan proses pemilihan parti baru-baru ini.

Mengenai kumpulan yang mengadakan perhimpunan malam Selasa, Johari tidak pasti sama ada mereka terdiri daripada ahli parti atau orang luar.

Kumpulan yang menyatakan rasa tidak puas hati itu turut membawa poster bagi memberikan sokongan terhadap pemimpin yang bertanding.

PKR

Artikel Lain