Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata jenazah Almarhum Tunku Annuar akan disembahyangkan di Istana Anak Bukit di sini pukul 3 petang ini.
"Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit mulai pukul 1 petang hingga 3 petang bagi maksud memberi penghormatan terakhir," katanya ketika mengumumkan berita itu melalui siaran Kedah.fm di sini, Rabu.
Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar selepas solat Asar.
Sehubungan itu, Mukhriz berkata, bendera negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai hari ini.
Beliau berkata tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 27 Mei dan sepanjang tempoh berkenaan semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan adalah dibatalkan.
Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah itu, hari ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah.