suria

Ramkarpal Lancar Manifesto Di Saat Akhir Kempen

GEORGE TOWN: Hanya selepas tempoh kempen berbaki dua hari dan dikritik pelbagai pihak kerana gagal menghasilkan manifesto untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, akhirnya calon DAP, Ramkarpal Singh Deo melancarkan dokumen itu, pada Khamis.

Ketika ditemui, beliau berkata, risalah yang menggariskan enam perkara utama itu dirangka selepas pelbagai pihak mempersoalkan tindakan parti itu yang berkempen tanpa manifesto.

"Orang ramai tanya mengenai manifesto kami. Jadi pada hari ini, kami melancarkan risalah yang mengandungi manifesto parti sekiranya kami menang di Bukit Gelugor.

"Antara yang tersenarai adalah penaiktarafan sistem trafik, kemudahan awam, alam sekitar, pasar awam, pendidikan dan perumahan," katanya pada sidang media di Pusat Operasi DAP di Greenlane, Khamis.

Jelas Ramkarpal, manifesto itu dapat dilaksanakan kerana beliau boleh bekerjasama dengan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan Parlimen berkenaan.

Selain itu, beliau turut mendesak supaya polis bertindak terhadap 12 individu yang ditahan berhubung insiden menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang , petang Rabu.

"Kes ini boleh diselesaikan dengan pelbagai cara termasuk merujuk kepada peraturan mesyuarat dewan, bukan dengan cara orang luar menceroboh," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi  mendesak Penerbangan Malaysia (MAS) supaya menyiasat dan mengambil tindakan disiplin terhadap Timbalan Ketua Pemuda Umno negeri, Jasmin Noordin yang juga kakitangan syarikat itu.

Jasmin bersama dengan sekumpulan penyokong Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang petang Rabu selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan biadap Adun R.N.S Rayer terhadap Umno.

Artikel Lain