Sehubungan itu kata beliau seharusnya wakil rakyat berkenaan terlebih dahulu dikenakan tindakan menurut Seksyen 31(e) Akta Hasutan sebelum Ketua Menteri Lim Guan Eng boleh menggesa penceroboh DUN diambil tindakan keras.
"Beliau (Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima R.S.N Rayer) bukan sahaja menyebut perkataan 'Umno celaka' di dalam DUN tetapi juga semasa berkempen untuk pilihan raya kecil Bukit Gelugor dalam khalayak ramai.
"Kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap pemimpin Umno itu dibuat dengan tujuan politik," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pulau Pinang di sini Khamis.
Mengulas lanjut, Jahara berkata kumpulan itu tidak bertujuan mewujudkan huru-hara atau mengganggu persidangan DUN sebaliknya mahu mencari Rayer dan menuntutnya memohon maaf.
"Mereka tidak berniat untuk buat jenayah pun kerana tidak membawa apa-apa senjata, lagipun mereka datang ketika dewan sedang berhenti rehat dan saya sendiri telah memohon maaf secara terbuka pada keesokan harinya," katanya.
Dalam insiden itu, sekumpulan 100 lelaki yang mengaku anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang untuk mencari Rayer dan mendesak wakil rakyat DAP itu memohon maaf kerana mengeluarkan perkataan kesat.
Rayer dalam perbahasannya mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.