LAHAD DATU: Kerajaan akan menggunakan pelantar minyak milik Petronas yang terbiar sebagai Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone). Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pihaknya bersama Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) sedang mengenal pasti pelantar minyak terbabit, khususnya yang berhampiran sempadan negara. "Berapa jumlahnya (pelantar minyak terbiar untuk dijadikan FOB), kita akan maklumkan kemudian. "Sebelum pelantar minyak (yang sudah dikenal pasti) dijadikan FOB, kita akan letak bot atau kapal pasukan keselamatan untuk sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 30 bot Rigid Hull Fender (RHFB) kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Esscom, di Markas Operasi Pangkalan Polis Marin Lahad Datu di sini Khamis. Menurut Shahidan pewujudan FOB merupakan antara langkah mengekang sebarang cubaan pencerobohan. Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap segala bentuk pencerobohan dan komited untuk tidak beri peluang dan ruang kepada sebarang kegiatan yang mengganggu gugat kedaulatan negara, katanya. Terdahulu, Shahidan meminta anggota keselamatan supaya mempamerkan keberanian dan semangat juang yang tinggi dalam mengawal keselamatan negara. "Kecanggihan bot-bot ini tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak dikendalikan secara cekap dan berkesan serta anggota yang tidak memiliki sifat keberanian yang tinggi," katanya. Sementara itu, Musa berkata penubuhan Esscom dan pewartaan Esszone tidak akan membawa impak positif jika tiada tindakan bersepadu dilaksana bagi memastikan kawasan daratan dan perairan pantai timur Sabah bebas daripada semua bentuk ancaman dan pencerobohan. "Setiap lapisan rakyat juga mestilah membantu agensi-agensi keselamatan bukan sahaja dari segi sokongan moral dan semangat, tetapi juga dalam bentuk penyaluran maklumat bagi memastikan sebarang ancaman keselamatan dan kedaulatan dapat ditangani dengan pantas dan berkesan," katanya. Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata sebanyak RM50.76 juta dibelanjakan untuk memperoleh 30 RHFB tersebut yang dibekalkan oleh empat syarikat tempatan. Katanya syarikat tersebut ialah MSET Inflatable Composit Sdn Bhd yang dianugerah kontrak bernilai RM17.64 juta untuk membekalkan sembilan RHFB kepada Angkatan Tentera Malaysia; Kay Marine Sdn Bhd (sembilan RHFB bernilai RM17.58 juta untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia); Dalac Marine Engineering and Services Sdn Bhd (enam RHFB bernilai RM7.79 juta untuk Polis Marin; dan Destination Marine Services Sdn Bhd (enam RHFB bernilai RM7.75 juta untuk Polis Marin). Menurutnya, bot berkuasa tinggi tersebut kalis peluru dan memiliki spesifikasi canggih serta berupaya mencapai kelajuan tinggi sehingga 50 knots (92.6 km sejam). "Selain itu, kesemua bot dilengkapi sistem kesedaran situasi iaitu gabungan sistem Pandangan Hadapan Infra Merah (FLIR) berkeupayaan tinggi dan radar yang membolehkan pengesanan dan pemintasan dilakukan terhadap sebarang bentuk pencerobohan di perairan," katanya. Thajudeen juga berkata kru telah menjalani latihan untuk mengendali bot tersebut pada awal bulan lepas dan kini bersedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa.