suria

DAP Hanya Tumpu Pengundi Luar - Mah

TELUK INTAN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong mendakwa DAP hanya mementingkan pengundi luar bagi meraih kemenangan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Presiden Gerakan itu berkata, tumpuan parti pembangkang itu menyebabkan mereka 'menganaktirikan' penduduk tempatan yang juga pengundi.

"Kenapa hanya meletakkan masa depan Teluk Intan kepada orang luar? Sedangkan ramai penduduk sudah lama tinggal di sini.

"Mereka cuba tarik lebih 5,000 pengundi luar tetapi orang di sini mereka tak jaga pun," katanya pada program Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India di Rumah Rehat Teluk Intan di sini, Jumaat.

Mah berkata, pengundi luar perlu memikirkan kesan dan kepentingan terhadap kebajikan dan pembangunan di Teluk Intan.

"Saya tahu anda (pengundi luar) khususnya yang muda-muda tidak menetap di Teluk Intan  tetapi fikirlah tentang ibu bapa, saudara-mara dan keluarga anda yang berada di sini.

"Oleh itu, saya menyeru ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan mereka di luar (pengundi) untuk mengundi (saya)," katanya.

DAP sebelum ini menyediakan 25 buah bas 'Jom Balik Undi' kepada pengundi luar yang bekerja di Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura bagi mengundi pada PRK Teluk Intan 31 Mei ini.

Kemudahan itu bertujuan meningkatkan sasaran sokongan pengundi luar bagi DAP mengekalkan kemenangan di kawasan Parlimen itu.

Pada PRK Teluk Intan, Mah akan bertanding satu lawan satu dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Hari mengundi pilihan raya kecil itu pada Sabtu ini.

Teluk Intan, Barisan Nasional

Artikel Lain