KUALA LUMPUR: Seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh seorang jirannya bulan lalu. M. Michkel Suntharam, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di depan Hakim Azwarnida Affandi. Dia didakwa melanggar D. Nagarajan, 23, dengan kereta sehingga menyebabkan kecederaan yang boleh membawa kepada kematian di tepi jalan padang permainan di Jinjang Utara, Sentul di sini pada 7.30 pagi 14 Mei lalu. Michkel Suntharam didakwa melakukan perbuatan itu bersama dua individu yang telahpun dihadapkan ke mahkamah dan seorang lagi yang masih bebas mengikut Sesyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz pada Selasa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana bimbang dia akan mengganggu mangsa dan memohon kes itu dibicarakan bersama dua lagi tertuduh yang didakwa pada 23 Mei lepas. Peguam Tharamjit Singh memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan Michkel Suntharam sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan memberi kerjasama kepada polis. Azwarnida membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan sehingga kes selesai. "Tertuduh dan keluarganya juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan dengan apa cara sekalipun, termasuk khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon. "Sekiranya syarat ini gagal dipatuhi, jaminan boleh dibatalkan," katanya. Mahkamah juga mengarahkan kes itu dibicarakan bersama dua lagi tertuduh dan menetapkan 30 Jun untuk sebutan.