suria

Lokasi Pencarian Huntley Dikecilkan

Gareth Huntley.
PULAU TIOMAN: Misi pencarian warga Britain, Gareth Huntley, 34, pada hari ketujuh kini ditumpukan ke arah 3 kilometer timur laut air terjun Lubuk Teja.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada 33 komando, polis, Rela dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bertolak dari lokasi projek Penyu Juara di Kg Juara di sini kira-kira pukul 8 pagi dan dijangka bermalam untuk menjejaki dua kawasan lingkungan Huntley dipercayai hilang.

"Kami ada beberapa petunjuk dia mungkin berada dalam kawasan ini. Jadi kami hanya memfokuskan kawasan pencarian di dua kawasan lingkungan dia dipercayai hilang," kata Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Yahaya.

Beliau berkata, dua kawasan lingkungan tersebut iaitu bersaiz 1.5km setiap satu, terletak 10km dari air terjun Lubuk Teja mungkin merupakan lokasi Hunter dipercayai berada.

Tambahnya, operasi pencarian ini merupakan yang paling mencabar dan terlama dalam kes membabitkan orang sesat di hutan tersebut.

"Kebiasaannya, ia tidak mengambil masa begitu lama, hanya dua atau tiga hari saja. Tapi kali ini, dikhuatiri individu itu lemas atau meninggal dunia.

"Keadaan di lokasi pencarian yang sukar dan mencabar serta banyak batu licin mungkin menyebabkan dia terjatuh dan tidak dapat bergerak," kata Johari.

Johari memberi jaminan kepada keluarga Huntley bahawa semua usaha untuk menyelamatkan mangsa telah dilakukan termasuk tinjauan menerusi udara dan pesisir pantai.

"Saya percaya mereka gembira dengan operasi kami setakat ini," katanya.

Terdahulu, Huntley, seorang akauntan di London tiba di lokasi projek Penyu Juara pada 24 Mei lalu untuk berkhidmat sebagai sukarelawan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain