PETALING JAYA: Masih ramai ibu bapa di negara ini yang kurang prihatin terhadap tanggungjawab menjaga keselamatan anak mereka, malah sering cuai dan mengambil sikap ambil mudah terhadap aspek itu sehingga menyebabkan kes jenayah membabitkan kanak-kanak dan remaja meningkat. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Dun berkata, walaupun ia sesuatu yang menyedihkan, tetapi itulah realiti sebenar yang berlaku di negara ini. Sehubungan itu, katanya, pelbagai langkah yang dirangka kerajaan dalam usaha menangani masalah membabitkan generasi muda negara ini tidak akan selesai tanpa kerjasama dan usaha ibu bapa atau penjaga. "Memang baik idea untuk mengadakan perbincangan membabitkan semua pihak berkaitan sama ada agensi kerajaan termasuk polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan anggota masyarakat itu, tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah di peringkat akar atau puncanya jika apa yang diputuskan tidak dilaksanakan di peringkat rumah. "Paling utama, ibu bapa perlu menyemaikan perasaan kasih sayang dalam kalangan anak-anak sejak dari kecil supaya mereka membesar menjadi insan yang penyayang dan seterusnya ibu bapa menjadi 'role model' yang utama. "Bagaimanapun, keadaan itu dilihat masih kurang dan sebab itu pelbagai usaha digerakkan ke arah itu," katanya kepada mStar Online. Beliau mengulas saranan beberapa NGO supaya kerajaan bertindak segera bagi memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terus menjadi mangsa kes jenayah seperti rogol, bunuh dan penderaan. Azizah berkata, pembabitan masyarakat dalam usaha pencegahan pelbagai gejala negatif penting dengan mengadakan program advokasi anti keganasan terhadap kanak-kanak. "Keprihatinan komuniti untuk sama-sama mencegah lebih baik dari menghukum setelah berlaku keganasan terhadap mangsa. "Dalam hal ini, kementerian sentiasa berbincang di setiap kesempatan untuk menangani apa jua isu yang ada kaitan dengan kumpulan sasar bagi melihat keberkesanan program dan tindakan serta bagaimana untuk menambah baik. "Dalam erti kata lain, kita tidak tunggu ada kes baharu nak bincang," katanya. Beliau berkata, disebabkan itu juga, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut mengadakan program Keluarga@Komuniti yang membolehkan ibu bapa hadir untuk menimba ilmu supaya menjadi ibu bapa yang tahu tanggungjawab terutamanya terhadap anak-anak. Katanya, begitu juga dengan program Smart Start untuk pasangan bakal pengantin dan mereka yang baharu mendirikan rumah tangga untuk memberi pengetahuan mengenai tanggungjawab sebagai pasangan suami dan isteri serta ibu bapa. Selain itu, Azizah berkata, berkaitan kes penderaan kanak-kanak pula, Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak ditubuhkan untuk menasihati Menteri mengenai aspek perlindungan kanak-kanak termasuk di peringkat daerah. "Ia bagi menghalang kejadian penderaan terus berlaku di mana pasukan perlindungan kanak-kanak ini akan mendekati komuniti dengan lebih kerap dan memantau isu berkaitan kanak-kanak yang perlukan tindakan atau perlindungan," katanya.