Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, draf rang undang-undang mengenai akta itu kini dalam semakan akhir di Pejabat Peguam Negara dan dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.
"Dengan adanya akta baharu itu, semua aktiviti yang melibatkan haiwan dan binatang ternakan dan bukan ternakan akan dipantau.
"Harapan kita ialah untuk menjaga kebajikan semua haiwan sekaligus mengurangkan perbuatan kezaliman, penganiayaan dan penyeksaan terhadap binatang di negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kebajikan Haiwan 2014, di sini, Isnin.
Katanya, dari 2013 hingga Mei 2014, sebanyak 2,393 ekor ternakan lembu telah dicuri di Semenanjung dan Labuan dengan nilai kerugian sebanyak RM2,976,430.
"Selepas ini semua ternakan lembu akan ditandakan dengan satu brand atau tatoo yang unik untuk membolehkan tuan punya ternakan mengenal pasti ternakan mereka. Ini diharap dapat kurangkan kes kecurian," katanya.
Lebih 500 penternak dan pengusaha ternakan haiwan dari seluruh negara menghadiri majlis tersebut.