suria

Dalang Rompakan Kapal Di Bintulu Dipercayai Perbuatan Rakyat Tempatan

MIRI: Dalang disebalik kes serangan ke atas sebuah kapal tangki minyak di Laut China Selatan, 78 batu nautika dari luar pesisir pantai Bintulu pada Sabtu lalu dipercayai dilakukan oleh perompak tempatan dan bukannya lanun asing.

Polis sedang menyiasat kemungkinan tersebut walaupun pihak berkuasa maritim menyiasat kes ini dari Pusat Maritim di Labuan.

Ketua Polis Bintulu Superintendan Abdul Razak Mohamad mengesahkan pada Khamis bahawa polis negeri itu menerima laporan berhubung insiden terbabit.

"Kes ini dipercayai insiden rompakan di laut mungkin dilakukan penduduk tempatan.

"Ia mungkin bukan perbuatan lanun asing. Kapal terbabit dalam perjalanan ke Labuan ketika diserang oleh sekumpulan lelaki di 78 batu nautika dari luar pesisir Bintulu.

"Kapten warga Filipina dan 22 anak kapal tidak dicederakan. Perompak memindahkan semua bahan api dari kapal terbabit (100,000 tan metrik) sebelum beredar.

"Kesemua yang berada di dalam kapal itu diikat. Ia bukan kes rampasan tetapi rompakan melibatkan kargo minyak," katanya.

Kapal tersebut, MT Budi Mesra Dua, belayar ke Labuan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim mengambil alih siasatan berhubung insiden itu.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kidurong, Chiew Ching Sing menggesa pihak berkuasa maritim untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang kawasan pesisir pantai.

"Sarawak mempunyai pantai yang sama panjang. Terdapat keperluan untuk memastikan kes seperti itu tidak berulang lagi. Jika tidak keselamatan penduduk di pesisir pantai akan berada dalam bahaya," katanya.



Artikel Lain