suria

Bekas Pembantu Juruterbang Bebas Tuduhan Edar Dadah

SHAH ALAM:  Seorang bekas pembantu juruterbang pada Khamis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan mengedar dadah pada Februari tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Ian Hooi Wern Hao, 26, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata pihak pendakwaan juga gagal memanggil tiga saksi pendakwaan sepanjang lanjutan tempoh yang diberi untuk membuktikan dadah jenis Kanabis seberat 979 gram yang dijumpai di sebuah rumah adalah milik Hooi.

"Pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan dadah itu adalah milik tertuduh kerana terdapat dua lagi suspek semasa polis menemui dadah itu secara terbuka di ruang tamu rumah yang disewa tertuduh," katanya.

Hooi sebelum ini menghadapi pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis di sebuah rumah di Lakeside Terrace, Jalan Cecawi 6/31B, Seksyen 6, Kota Damansara dekat sini pada pukul 3.30 petang, 2 Feb 2013.

Hooi yang diwakili peguam Datuk N. Sivanathan dan Katherine Susan dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Dia dipecat sebuah syarikat penerbangan tambang rendah pada 2011 kerana masalah disiplin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Iswa Tonie.

Juruterbang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain