SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh mempertahankan keputusannya membenarkan usul mengenai hudud yang dicadangkan oleh wakil rakyat Umno untuk dibentangkan pada persidangan yang akan bermula minggu depan. Tegas Hannah, sebagai Speaker beliau tidak boleh mengamalkan pendirian berpihak kepada mana-mana parti politik termasuk partinya sendiri iaitu DAP dan Pakatan Rakyat. "Bila saya pengerusikan sidang DUN, saya tidak lagi melihat diri saya sebagai wakil rakyat DAP atau Pakatan Rakyat. "Perkara paling penting ialah sebagai Speaker, saya perlu adil dalam mempertimbangkan usul yang dikemukakan," katanya pada sidang media di Pejabat Speaker DUN di sini, Jumaat. Mengulas lanjut Yeoh menegaskan, pandangan peribadinya sebagai wakil rakyat DAP tidak boleh menjadi pertimbangan dalam mengendalikan urusan DUN. "Pandangan saya tentang hudud tidak penting, atau pendirian parti saya tentang hudud juga tidak penting...saya di sini sebagai Speaker dan saya bertanggungjawab bukan sahaja kepada DAP, PKR atau PAS, tapi juga kepada Umno. "Sebagai Speaker pandangan saya perlu diketepikan kerana saya bertanggungjawab terhadap urusan Dewan untuk pastikan semua berjalan lancar," katanya. Cadangan membentangkan usul hudud di DUN Selangor itu dikemukakan oleh ADUN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik. Keputusan Yeoh meluluskan usul hudud untuk dibentangkan menerima kritikan negatif daripada MCA dan Gerakan. Malah sebelum ini wakil rakyat DAP juga lantang mengkritik dan menolak hasrat Umno untuk membentangkan usul mengenai undang-undang Islam itu. Mengulas mengenai kecaman terhadapnya, Yeoh menempelak sikap segelintir wakil rakyat yang gagal memahami fungsi kewujudan DUN sebagai medan untuk membincangkan mengenai isu yang dibangkitkan. "Jika DUN bukan tempat untuk berbahas, saya tak tahu apa lagi peranannya. Malah jika wakil rakyat tidak berbahas mengenai isu, saya pun tak tahu mengapa mereka dipilih. "Adalah penting kepada semua pihak untuk bahaskan perkara ini secara baik dan matang. Bahas perlu menjadi budaya kepada wakil rakyat," katanya sambil menambah sesi perbahasan usul dijangka bermula pada Rabu depan. Tambah Yeoh yang juga Adun Subang Jaya, beliau mengambil jalan tengah dalam isu hudud. "Saya tak boleh menang dalam perkara ini. Jika tak benarkan (bentang hudud), Umno akan kata saya anti Islam. "Jika benarkan, MCA kata saya bermain dengan isu ini. Jika anda Speaker apa anda akan buat? Saya hanya buat keputusan berdasarkan apa yang betul untuk DUN," katanya.