suria

Thailand Nafi Wujud Gerakan Buru Pekerja Kemboja

Ribuan pekerja Kemboja meninggalkan Thailand dan wujud dakwaan bahawa mereka dizalimi dengan kononnya ada antara mereka dicederakan atau dibunuh oleh pihak berkuasa Thailand.
BANGKOK: Tatkala pekerja Kemboja berpusu-pusu pulang ke tanah air mereka, kerajaan Thailand menafikan telah mengeluarkan perintah bagi gerakan memburu pekerja asing di negara ini.

Sek Wannamethee, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand, menafikan laporan berita tidak berasas berdasarkan khabar angin itu bahawa Tentera Thailand melancarkan gerakan memburu pekerja Kemboja tanpa mengira status mereka dan mengusir mereka pulang ke tanah air.

Menurut laporan, gerakan itu dilancarkan susulan perintah dikeluarkan baru-baru ini oleh Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara (NCPO).

Khabar angin itu menyebabkan ribuan pekerja Kemboja meninggalkan Thailand dan wujud dakwaan bahawa mereka dizalimi dengan kononnya ada antara mereka dicederakan atau dibunuh oleh pihak berkuasa Thailand.

Dalam kenyataan dikeluarkan kementerian itu, Sek memberi jaminan bahawa selepas disahkan dengan pihak berkuasa Thailand relevan termasuk pihak berkuasa di wilayah Sa Kaeo dan Trat (bersempadan dengan Kemboja), NCPO tidak mengeluarkan perintah yang menyasarkan pekerja Kemboja.

Khabar angin itu yang disebarkan oleh sumber tidak diketahui telah mencetuskan panik dalam kalangan pekerja Kemboja dan juga majikan Thailand, menurut kenyataan itu.

Susulan itu, sejumlah pekerja tanpa izin Kemboja melapor diri kepada pihak berkuasa Thailand dan secara sukarela dihantar pulang ke Kemboja, menurutnya.

Menurutnya bagi melancarkan proses penghantaran pulang sejumlah besar pekerja tanpa izin Kemboja secara sukarela, Pejabat Imigresen Sa Kaeo dengan kerjasama unit-unit tentera setempat telah menyediakan kemudahan pengangkutan untuk mereka.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Thailand mengakui kepentingan pekerja dari negara-negara jiran kerana mereka bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi Thailand, tetapi juga atas faktor hubungan akrab dan dari segi sejarah antara kerajaan dan penduduk Thailand dengan negara berkenaan.
Thailand, Kemboja

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain