Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata tiga buah kementerian tersebut ialah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Sumber Manusia (KSM).
"Sambutan daripada agensi serta kementerian amat menggalakkan dan memuaskan, selepas menandatangani CIP kita akan memantau pelaksanaan setiap agensi," katanya di sini Selasa.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani CIP bersama KSM yang diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Saripuddin Kasim sambil disaksikan Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem serta Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Sementara itu, Riot berkata kementeriannya sememangnya sudah mempunyai sebuah unit integriti dalaman yang terdiri daripada beberapa pegawai kementerian untuk memantau salah laku kakitangannya.
"Menyedari hakikat bahawa peperangan terhadap gejala rasuah merupakan sesuatu yang sukar, ingin saya nyatakan bahawa kementerian akan memberi komitmen sepenuhnya terhadap pembudayaan integriti," katanya.
Beliau juga menyeru agar semua kontraktor atau pembekal yang berurusan dengan kementerian supaya menjalankan urus niaga secara berintegriti dalam memberikan perkhidmatan atau perbekalan yang berkualiti.