PETALING JAYA: Peserta kategori A (7-9 tahun) Chong Bee Yee, 9, dan kategori B (10-12 tahun), Wong Sze Ching, 10, menewaskan 150 peserta lain apabila dinobatkan sebagai juara peraduan mewarna anjuran Kuntum, majalah terbitan Star Publications (M) Berhad. Peraduan itu dianjurkan bersempena Hari Pelanggan dan Perkhidmatan Agensi Kementerian Wilayah Persekutuan 2014 di Auditorium Cempaka Sari, Precint 3, Putrajaya, baru-baru ini. Bee Yee dan Sze Ching masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 dan langganan majalah Kuntum selama setahun. Tempat kedua bagi kategori A dimenangi oleh Aisy Basri Bakri, 9, manakala Ainur Farisya, 9 Tahun di tempat ketiga. Bagi kategori B, Ng Kar-Weng, 10, menduduki tempat kedua manakala Kelly Wong, 11, ditempat ketiga. Keempat-empat peserta itu masing-masing memperoleh wang tunai sebanyak RM300 dan RM200 berserta langganan majalah Kuntum selama setahun. Para peserta diberi masa selama satu jam setengah untuk menyiapkan hasil warna mengikut kreativiti masing-masing. Kreativiti setiap peserta dinilai oleh Rizalman Misran dari majalah Kuntum, Pengasas dan Pengarah myBatik, Emilia Tan dan Setiausaha Sulit Menteri Wilayah Persekutuan, Nur Ashikin Chan Abdullah yang bertindak sebagai juri peraduan tersebut. Hadiah untuk para pemenang disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Rahimi Rejab dan Pengurus Besar Pengiklanan Magnet Bizz Sdn Bhd, Lina Ismai. Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran mascot rasmi majalah Kuntum, Si Comel. Sementara itu, Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeos) pula bertindak sebagai penaja minuman semasa peraduan tersebut.