KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan Pusat Perakaunan Profesional bagi meningkatkan bilangan profesional Bumiputera dalam bidang berkenaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pusat tersebut akan ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menawarkan empat kursus profesional. Kursus berkenaan membabitkan Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah Malaysia (CIMA), Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW) dan Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA). "Kita dapati pada masa ini jumlah yang lulus dalam bidang perakaunan di peringkat universiti bilangan Bumiputera adalah ramai iaitu 64 peratus atau 7,363 daripada 11,660 orang. "Namun kita dapati, jumlah yang dianggap sebagai profesional dengan kelulusan profesional hanya lapan peratus sahaja atau 1,554 orang," katanya di bangunan Parlimen, Rabu. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) di sini. Mengulas lanjut Najib berkata, kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan kepada 25 peratus menjelang 2020. Selain itu, menurut Perdana Menteri, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk meminda Akta Akauntan 1967 bagi memberi galakan kepada orang ramai untuk mendapatkan kelulusan profesional dalam bidang tersebut. "Kita akan kaji anomali (peraturan) yang wujud sekarang ini di mana dalam kerajaan mereka yang ada kelulusan perakaunan peringkat ijazah mendapat gaji yang lebih daripada profesional akauntan. "Ini tidak memberi insentif kepada mereka untuk memperolehi ijazah profesional dalam bidang perakaunan," katanya.