Sebaliknya, klia2 telah memenuhi standard antarabangsa, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata masalah mendapan itu akan terus dipantau oleh juru runding bebas Ikram Premier Consulting (Ikram) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Saya telah meminta MAHB (Malaysia Airports Holding Berhad) untuk memberi kerjasama dalam perkara itu. Sekarang Ikram dalam fasa kedua kajian dan ia memerlukan beberapa bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai klia2 di sini, Jumaat.
Pada masa sama, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berpuas hati dengan operasi klia2 berdasarkan maklum balas positif yang diterimanya.
"Tetapi ada beberapa perkara perlu ditambah baik seperti banyakkan papan tanda dan kemudahan 'walkerlator' untuk keselesaan pengguna terutama warga emas," katanya.