suria

Kes Bunuh Pegawai Ambank: Saksi Tergamam Lihat Gambar Rakan Sekerja Dibunuh

SHAH ALAM: Seorang juruwang bank kaku dan tergamam di sisi rakan sekerjanya yang mati akibat cedera parah ditembak semasa rompakan di cawangan AmBank di Subang Jaya, tahun lepas.

Ifasri Maria Lee Mansur, 21, tidak dapat mengawal ketenangan ketika dia ditunjukkan gambar Norazita Abu Talib yang sudah tidak bernyawa untuk tujuan pengenalan.

Dia sebelum ini telah memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa dia tidak 'berani' untuk melihat gambar-gambar tersebut.

Walau bagaimanapun, Hakim Akhtar Tahir yang mengetuai perbicaraan pada Selasa berkata Ifasri mesti cuba untuk mengenal pasti mangsa, kerana dia merupakan saksi di tempat kejadian.

Ketika melihat gambar-gambar itu, saksi itu menutup wajahnya dengan tangannya beberapa kali.

Dia bagaimanapun berjaya mengenal pasti Norazita sebelum dia mula kaku untuk bercakap.

Hakim Akhtar kemudian mengarahkannya supaya  berehat selama 10 minit untuk membolehkan saksi itu kembali bertenang.

Ifasri memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap seorang warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila yang dituduh membunuh Norazita di cawangan AmBank di USJ Sentral, Subang Jaya, antara pukul 6 hingga 6.30 petang pada 23 Oktober tahun lepas.

Saksi itu berkata terdapat empat kakitangan bank termasuk dirinya dan seorang pengawal bersenjata yang bertugas pada masa itu.

"Saya berada di kaunter operasi (apabila ia berlaku) melakukan kerja-kerja memfail. Saya mendengar bunyi yang kuat dan apabila saya berpaling, saya melihat asap. Arzanna Abdullah (seorang lagi kakitangan bank yang bersama mangsa) meminta saya melihat Kak Ita (Norazita) yang telah rebah atas lantai.

"Saya mahu pergi kepadanya tetapi pengawal menunjukkan senapang pamnya kepada saya dan menyuruh saya supaya masuk ke dalam bilik operasi. Saya melakukan apa yang disuruh, "katanya.

Ifasri turut mengingati semula tindakan pengawal membungkus beg dan senapangnya.

"Pada masa itu Kak Ita masih bergerak, dia berpaling ke arah saya dan Kak Ana (Arzanna) dan kemudian dia berhenti bergerak," tambahnya.

Katanya, dia mengenali pengawal itu sebagai 'Ardi Hamzah' yang menggantikan pengawal tetap yang bercuti pada hari itu.

Ditanya mengenai 'Ardi Hamzah', saksi itu memberi isyarat kepada La Ode yang duduk di kandang tertuduh.
pegawai Ambank, Ardi Hamzah

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan