PETALING JAYA: Bekas calon Bebas, Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Pulau Pinang, Abu Backer Sidek Mohamad Zan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo. Abu Backer berkata, keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa 'menafikan beberapa haknya sebagai calon' sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil itu. Peguam berusia 46 tahun itu turut menuntut keputusan pilihan raya itu dibatalkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya yang lebih telus dan adil. Jelasnya, petisyen itu difailkan pada 18 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. "Saya memutuskan untuk memfailkan petisyen pilihan raya untuk menuntut keadilan bagi diri saya sendiri, rakyat dan juga calon yang akan bertanding pada masa hadapan agar pilihan raya di Malaysia dapat dibersihkan daripada penganiayaan dan ketidakadilan seperti yang berlaku kepada saya," katanya dalam satu kenyataan. Dalam petisyen yang difailkan Abu Backer menerusi firma guamanya, beliau menamakan Ramkarpal, Pegawai Turus Pilihan Raya PRK Bukit Gelugor dan SPR sebagai defendan. Abu Backer turut mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan SPR berkomplot untuk menghalangnya berkempen kerana Pengurus Pilihan Raya yang dilantik adalah kakitangan kerajaan negeri itu dan tertakluk kepada arahan Ketua Menteri. Selain menuntut PRK diadakan semula dan keputusan dibatalkan, Abu Backer mendesak supaya SPR dipantau satu badan bebas yang lebih telus dan Pegawai atau Pengurus Pilihanraya itu mestilah kakitangan Kerajaan Persekutuan. Abu Backer mencetuskan kontroversi apabila menarik diri daripada bertanding beberapa jam sebelum tempoh berkempen tamat. Beliau berdepan saingan empat penjuru menentang Ramkarpal, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan seorang lagi calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abdul Sathar. Kerusi Parlimen Bukit Gelugor diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh (DAP) akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lalu. Ramkarpal yang juga anak ketiga mempertahankan kerusi mendiang bapanya dengan majoriti lebih kecil sebanyak 37,659 undi. Walaupun peratusan keluar mengundi pada kali itu antara yang terendah, Ramkarpal memperoleh 46,099 undi, Cheng Guan (3,583) manakala Abu Backer (225) dan Mohamed Nabi Bux (799).