PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berpuas hati apabila para peniaga menawarkan harga berpatutan di bazar Ramadan seluruh negara. Beliau yang telah mengunjungi beberapa bazar Ramadan di Lembah Klang, Seremban dan Alor Setar mendapati peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenannya sehingga membebankan pengguna. "Sehingga kini, KPDNKK tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna. Saya berpuas hati kerjasama semua pihak," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi bazar Ramadan Presint 3 di sini, Selasa. Hasan juga mengingatkan pengguna agar bijak membuat pembelian di bazar Ramadan agar mendapat juadah yang bermutu dan bersih. "Pengguna kena berhati-hati ketika membeli. Soal kebersihan dan mutu makanan harus menjadi pilihan utama...jangan cari yang murah tetapi memudaratkan kesihatan," katanya. Selain itu, Hasan turut berbangga apabila mendapati ramai golongan muda menjadi peniaga. Beliau berkata Skim Bazar Ramadan yang menyediakan pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil yang berniaga pada bulan Ramadan ini telah mendapat sambutan mengalakkan. Di bawah skim itu, penjaja dan peniaga kecil akan mendapat pinjaman tanpa faedah berlandas Syariah sehingga RM3,000 untuk dijadikan modal perniagaan dan tempoh bayaran balik ialah dua bulan selepas Ramadan. Katanya, bayaran 50 peratus dijelaskan sebelum tamat Syawal dan bakinya perlu dibayar sebulan selepas Syawal. "Di Putrajaya, terdapat 48 permohonan yang melibatkan peruntukan RM144,000," katanya. Sementara itu, Hasan berkata Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri akan dikuatkuasakan mulai 20 Julai hingga 5 Ogos. "Pasukan penguatkuasa akan turun padang memantau harga barangan kawalan untuk memastikan harga barangan kawalan sentiasa dipatuhi," katanya.