KUALA LUMPUR: Sebuah bangunan di Chow Kit di sini telah dikenal pasti sebagai lokasi untuk dijadikan rumah perlindungan buat golongan gelandangan di ibu kota, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib. Beliau berkata, pihaknya merancang kemungkinan untuk mendapatkan beberapa unit dan tingkat dalam bangunan itu khas buat menempatkan mereka yang hidup secara gelandangan. "Bahagian bawah (bangunan itu) mungkin boleh buat perkhidmatan seperti rawatan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas menyertai tinjauan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap golongan gelandangan di sekitar Bangunan Cahaya Suria, Jalan Tun Perak di sini, malam Rabu. Perdana Menteri yang tiba pada 10.40 malam meluangkan masa kira-kira sejam melihat sendiri aktiviti pengagihan makanan dan minuman oleh sukarelawan Dapur Jalanan, selain turut berjalan kaki melihat keadaan di sekitar jalan berkenaan. Najib, yang turut ditemani Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, meluangkan masa untuk beramah mesra dengan beberapa gelandangan yang tidur di tepi jalan termasuk di perhentian bas. Sementara itu, Rohani berkata, perdana menteri telah mengarahkannya memastikan golongan gelandangan yang berusia 60 tahun ke atas ditempatkan di Rumah Seri Kenangan kendalian kementerian itu. "Kalau umur ini (60 tahun) baiklah mereka berada di Rumah Seri Kenangan supaya senang (dijaga)," katanya. Mengenai kanak-kanak yang turut hidup sebagai gelandangan dengan ibu atau bapa mereka, Rohani berkata, masalah itu agak sukar diatasi kerana terdapat kalangan ibu atau bapa yang enggan menyerahkan anak mereka untuk dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Kita nak mereka kalau boleh letak anak-anak mereka dengan kita untuk kita jaga sementara mereka cari kerja. Tapi ibu bapa ini tak nak pisah, maka kita kena ikut dan hormati kehendak mereka," katanya.