KOTA BAHARU: Bulan puasa tidak menghalang pengayuh solo warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 68, untuk terus berkayuh pada setiap petang bagi mengekalkan stamina dalam persiapannya untuk mengelilingi beberapa negara Eropah, Ogos ini. Beliau yang menjelajah seluruh Semenanjung selama 28 hari dengan jarak kayuhan melebihi 2,000 kilometer pada Februari lalu, dijangka mengelilingi beberapa negara Eropah termasuk England dan Belanda. "Tidak jadi masalah berkayuh pada bulan puasa, cuma kita kena tahu masa yang sesuai untuk berkayuh. "Kebiasaannya saya akan turun berkayuh pada pukul 6 petang dan akan pulang ketika hampir waktu berbuka, saya berkayuh dalam 10 kilometer sehari pada bulan puasa berbanding 40 kilometer kebiasaannya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Jalan Telipot di sini, Rabu. Ketika ditanya mengenai persiapan untuk berkayuh di Eropah, Wan Hashim berkata dari segi tahap kesihatan dan mental beliau sudah bersedia sepenuhnya. "Buat masa ini saya sedang menyiapkan jadual perjalanan untuk berkayuh di Eropah dan dijangka berlepas selepas Aidilfitri," katanya. Beliau berkata kayuhan itu bertujuan untuk menaikkan nama Malaysia bersempena bulan kemerdekaan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Sementara itu, Wan Hashim berkata beliau memerlukan penajaan kira-kira RM100,000 bagi membeli peralatan basikal dan menampung perbelanjaan makan minum serta penginapan. Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Wan Hashim melalui telefon di talian 010-9071828. Kayuhannya itu dijangka mengambil masa empat bulan meliputi jarak sejauh 7,500 kilometer.