KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KTM Intercity bagi sektor Pantai Timur dijadualkan semula serta merta berikutan arahan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). KTM Berhad dalam kenyataan pada Sabtu berkata, berikutan itu perkhidmatan tren hanya akan beroperasi dari pukul 9 malam hingga 9 pagi dan tidak lagi beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 9 malam bagi memberi laluan kepada kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan landasan. Menurut kenyataan itu, dua daripada 12 perkhidmatan tren yang beroperasi di Pantai Timur telah dibatalkan perkhidmatannya. "Para penumpang yang telah membeli tiket untuk perkhidmatan tren yang dibatalkan boleh menukar jadual perjalanan dengan perkhidmatan tren yang masih beroperasi atau mendapatkan pemulangan tambang di kaunter-kaunter tiket KTM Intercity," katanya. Susulan penjadualan semula itu, waktu perkhidmatan tren di sektor Pantai Timur, Express Senandung Timuran (Tren 26) dari Woodlands ke Tumpat akan berlepas pada pukul 8 malam dan tiba pada 12 tengah hari. Express Senandung Timuran (Tren 27) dari Tumpat ke Woodlands pula akan berlepas pada pukul 8 malam dan tiba pada 12.30 tengah hari. Express Senandung Wau (Tren 28) dari KL Sental ke Tumpat akan berlepas pada pukul 8.30 malam dan tiba pada 10.30 pagi manakala dari Tumpat Ke KL Sentral pula akan berlepas pada pukul 6 petang dan tiba pada 8 pagi. Perkhidmatan Shuttle Sinaran Timur (Tren 91) dari Gemas ke Woodlands akan berlepas pada pukul 6 petang dan tiba pada 12 tengah malam manakala dari Woodlands ke Gemas akan berlepas pada pukul 6 pagi dan tiba pada 10.47 pagi. Shuttle Keretapi Tempatan (Tren 81) dari Tumpat ke Gua Musang akan berlepas pada pukul 4 pagi dan tiba pada 9.36 pagi. Shuttle Keretapi Tempatan (Tren 84) dari Gua Musang ke Tumpat akan berlepas pada pukul 1.30 tengah hari dan tiba pada 7 malam dan dari Gua Musang ke Tumpat akan berlepas pada pukul 9.14 pagi dan tiba pada 2.30 petang. Orang ramai boleh melayari www.ktmb.com.my atau menghubungi talian 1300-88-5862 bagi mendapatkan keterangan lanjut. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pegawai Operasi Ali Hanafiah Bujal juga boleh dihubungi di talian 011-12315229 atau Pegawai KTM Intercity, Nordin Kimi di talian 019-2291486.