PETALING JAYA: Pengguna bas ekspres ke utara tanah air untuk perjalanan sempena Aidilfitri ini boleh mendapatkan perkhidmatan itu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bermula Jumaat. Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, perkhidmatan di semua 12 destinasi itu membabitkan bas ekspres Transnasional, Plusliner dan Nice. “Usaha ini untuk membantu orang ramai yang tinggal di sekitar Bandar Tasik Selatan, Serdang, Seri Petaling, Sungai Besi dan Bangi serta penduduk di sepanjang laluan LRT dan KTM Komuter mendapatkan tempat berlepas yang lebih dekat ke destinasi utara berbanding Puduraya dan Terminal Jalan Duta,” katanya. Laluan utara itu termasuk Lumut, Ipoh, Seri Iskandar, Manjung, Parit Buntar, Batu Gajah, Bota, Ayer Tawar, Kuala Kangsar, Penang, Butterworth dan Sungai Petani. Tengku Hasmadi berkata, semua tiket ke beberapa destinasi utara itu boleh dibeli di semua kaunter TBS, kaunter ejen KTB atau secara dalam talian di www.ticket4u.com.my. Menurutnya, orang ramai yang mahu mendapat maklumat lanjut tentang perkara itu diminta menghubungi talian 1-300-888-582. Bagaimanapun, katanya, langkah terbaharu ini tidak bermakna operasi KTM di Hentian Duta dan Pudu Sentral ditamatkan, sebaliknya ia bertujuan memberi pilihan kepada pengguna. "Kadar tambah yang dikenakan juga sama," katanya.