suria

Aidilfitri: 1,800 Anggota JPJ Pantau 1.5 Juta Kenderaan

SETIU: Sebanyak 1,800 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara akan ditugaskan untuk kempen keselamatan jalan raya yang bermula 21 Julai sempena perayaan Aidilfitri.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pelbagai format akan digunakan pihaknya sepanjang kempen 16 hari itu bagi mengurangkan kemalangan dan kadar kematian di musim perayaan.

Katanya, JPJ akan menempatkan anggotanya di 107 lokasi yang telah dikenal pasti secara statik bagi memastikan kelancaran serta keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

"Kita juga akan menempatkan anggota di setiap 30 kilometer di jalan persekutuan dan jalan negeri sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

"Setiap kali menjelang musim perayaan kira-kira 1.5 juta kenderaan berada di atas jalan raya dan kita akan menggerakkan anggota agar dapat mengurangkan kadar kemalangan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Selain itu, pihaknya juga akan menempatkan anggota di 28 hentian rehat dan rawat (R&R) di seluruh negara dengan dibantu 500 anggota Skuad Muda 1JPJ.

Menurut Ismail, anggota tersebut juga melakukan pemeriksaan ke atas bas ekspres dan bas persiaran yang berhenti di kawasan tersebut dengan melakukan pemeriksaan fizikal seperti memastikan tayar dan brek berada dalam keadaan baik.

Anggota skuad ini akan membantu kempen keselamatan jalan raya dengan mengedarkan risalah keselamatan di R&R selain memberi maklumat berhubung salah laku pengguna kepada anggota JPJ.

Selain itu JPJ juga melakukan pemeriksaan bas di depoh serta terminal seluruh negara bagi memastikan bas dalam keadaan baik sehingga tiba ke destinasi yang dituju.

"Bagi pemeriksaan di 31 terminal seluruh negara kita akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan ujian saringan air kencing bagi memastikan pemandu serta pemandu kedua bebas daripada pengaruh dadah," katanya.

Ismail menambah pihaknya juga meneruskan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres bagi mengesan pemandu yang melanggar peraturan jalan raya.

Katanya, pasukan penyamaran ini ditingkatkan kepada 16 pasukan berbanding lapan pasukan sebelum ini dan kaedah yang dilakukan ini amat berkesan serta dapat mendidik pemandu bas lebih berhati-hati di jalan raya.

"Seramai dua anggota akan menyamar sebagai penumpang bagi memastikan pemandu dan pengusaha bas ekspres mematuhi peraturan ditetapkan dalam usaha kita mengurangkan risiko berlakunya kemalangan melibatkan bas ekspres.


JPJ, Aidilfitri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain