Pengurus Perhubungan Media dan Komunikasi MAS, Khairunnisak Dzun Nurin berkata, arahan terbang pada ketinggalan tersebut ditentukan oleh pusat kawalan udara negara berkenaan.
"MH17 memfailkan rancangan penerbangan bagi meminta kebenaran untuk terbang di ruang udara pada ketinggian 35,000 kaki. Ia berhampiran dengan ketinggian 'optimum'.
"Walau bagaimanapun apabila MH17 memasuki ruang udara Ukraine, pesawat itu diarahkan oleh pusat kawalan trafik udara untuk terbang pada 33,000ft," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
"Pada April lalu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenal pasti Semenanjung Crimean sebagai zon berisiko.
"Namun tidak ada pada mana-mana ketika MH17 memasuki kawasan itu. MH17 pada setiap masa menggunakan laluan yang diluluskan oleh ICAO," katanya.
Tambah Khairunnisak, selepas insiden MH17 ditembak jatuh, MAS kini mengubah laluan tanpa melalui ruang udara Ukraine namun terbang lebih jauh ke selatan Turki.