suria

MH17 Ditembak Jatuh Kerana Terbang Di Kawasan Konflik - Ukraine

GRABOVO, Ukraine: Ukraine memberitahu, pesawat penumpang, MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) ditembak jatuh pada Khamis kerana memasuki ruang udara kawasan konflik antara kerajaan negara itu dengan puak pemisah pro-Rusia.

Bagaimanapun Ukraine menafikan telah menembak jatuh pesawat tersebut.

Petugas agensi berita antarabangsa, Associated Press (AP) yang sempat ke lokasi nahas di timur Ukraine mendedahkan telah menemui 22 mayat.

Pesawat itu didakwa hancur akibat terhempas dengan kesan terbakar termasuk barangan penumpang yang bertaburan di kawasan ladang gandum berkenaan.

Nahas itu mengorbankan 295 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menyatakan nahas itu merupakan tindakan pengganas serta meminta siasatan antarabangsa dijalankan terhadap insiden berkenaan.

Kerajaan negeri Donetsk pula memberitahu, kawasan tersebut telah diambil alih oleh puak pemisah pro-Rusia dan pertempuran udara antara mereka dan kerajaan telah berlaku sejak beberapa hari lalu.

Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashenko berkata, pesawat awam itu ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu darat ke udara ketika ia berada di ketinggian 10,000 meter (33,000 kaki).

Jelasnya, sistem peluru berpandu tersebut berupaya menembak jatuh pesawat di ketinggian 22,000 hingga 72,000 kaki.






MAS, MH17, Ukraine

Artikel Lain