suria

Pengeluaran i-Kad Pekerja Asing Tidak Capai Sasaran?

Seorang model memegang i-kad pada ketika ia dilancarkan Januari lalu.

PUTRAJAYA: Prestasi pengeluaran Kad Akuan Diri Pekerja Asing (i-Kad) yang perlahan boleh menyebabkan sasaran untuk mengeluarkan sebanyak 2.3 juta kad itu menjelang akhir tahun ini tidak dapat dicapai.

Kad pengenalan i-Kad diperkenalkan kerajaan untuk membanteras masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dilantik untuk membekalkan kad berkenaan.

Jabatan Imigresen mendedahkan, setakat Mei lalu hampir 500,000 i-Kad telah diproses, namun hanya separuh daripadanya sahaja dikeluarkan untuk pekerja asing.

Jumlah itu agak kecil jika dibandingkan dengan 2.3 juta pekerja asing yang mempunyai permit dan wajib memiliki kad berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi berkata, kira-kira 250,0000 i-Kad lagi yang belum dapat dikeluarkan akan diedarkan secara berperingkat.

“Setakat awal Jun lalu, Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen telah mengeluarkan sebanyak 254,823 i-Kad untuk pekerja asing.

“Jika dilihat, purata pengeluaran i-Kad adalah 100,000 unit sebulan, tetapi jumlah itu tidak mampu mencapai sasaran 2.3 juta sekiranya kadar pengeluaran masih sama,” katanya kepada mStar Online dalam temuramah di sini, baru-baru ini.

Penggunaan i-Kad berkuat kuasa sejak 15 November lalu untuk memudahkan pihak berkuasa membezakan pekerja asing dengan rakyat tempatan melalui sistem dokumen diri lebih bersistematik.

Ia mempunyai kod bar yang mengandungi segala butiran diri serta biometrik bagi merekodkan cap jari pekerja asing. Setiap kad dikenakan caj sebanyak RM110 dan bayaran ditanggung majikan.

Pengeluaran i-Kad mengikut enam sektor pekerjaan dan warna meliputi perladangan (jingga), pembinaan (kelabu), perkilangan (merah manggis), perkhidmatan (kuning) dan pembantu rumah asing (coklat).

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan selewat-lewatnya akhir tahun ini, i-Kad wajib dimiliki 2.3 juta pekerja asing di negara ini dan tidak akan berkompromi jika mereka tidak mempunyai kad berkenaan.

Bagaimanapun, timbul dakwaan pelbagai pihak, terutama dalam kalangan majikan pekerja asing yang mengadu masih tidak menerima kad tersebut untuk pekerja mereka.

Sakib berkata, jika pengeluaran perlu dipertingkatkan lagi, maka jumlahnya perlu sekali ganda atau lebih kepada 200,000 unit sebulan.

Difahamkan, unjuran pengeluaran yang dibuat adalah purata antara 200,000 dan 240,000 i-Kad sebulan, bermula separuh kedua tahun ini.

Jabatan Imigresen sering mengadakan mesyuarat bersama PNMB berhubung pengeluaran i-Kad dan mengenal pasti mekanisme yang dapat membantu melancarkan proses itu.

Menurut Sakib, menerusi pembentangan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal i-Kad sebelum ini, PNMB optimis mencapai sasaran 2.3 juta unit i-Kad menjelang akhir tahun.

“Mereka optimis kerana terdapat penambahan peralatan seperti mesin pencetak di mana pengeluarannya akan dipertingkatkan mulai bulan ini,” katanya.

Selain mesyuarat Jawatankuasa Teknikal i-Kad yang dipengerusikan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat, isu sama juga dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu i-Kad dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff.

Sakib berkata, kedua-dua jawatankuasa berkenaan akan memantau aspek teknikal dan perkembangan pengeluaran i-Kad di mana Jawatankuasa Teknikal akan memastikan sama ada peralatan untuk mengeluarkan i-Kad mencukupi serta keperluan kontrak dipenuhi.

Selain itu, Jawatankuasa Pemandu pula menumpukan pemantauan secara menyeluruh dan membuat keputusan berdasarkan kepada perakuan Jawatankuasa Teknikal.

“Bagi mengatasi kebimbangan ini, kita bekerjasama dan membantu pihak vendor mempertingkatkan pengeluaran. Bagaimana untuk mempertingkatkannya adalah dengan menambah peralatan dan tenaga kerja,” kata Sakib.

Beliau juga memaklumkan, terdapat cadangan penambahan cawangan pejabat pengeluaran i-Kad supaya prosesnya lebih mudah.

i-kad, pekerja asing

Artikel Berikut

Artikel Lain