LONDON: Antara lima hingga 10 penumpang pesawat malang Penerbangan Malaysia MH17 yang terhempas di Timur Ukraine pada petang Khamis adalah terdiri daripada warga Britain, demikian menurut media massa negara itu. Keseluruhannya, pesawat itu membawa 295 penumpang termasuk 15 anak kapal. Juga dipercayai sekurang-kurangnya 23 warga Amerika Syarikat turut menaiki pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur. Antara yang turut menaiki pesawat itu ialah seorang penumpang dari Belanda yang sempat merakamkan pesawat itu dan memuatnaikkannya di dalam laman Facebooknya sebelum mereka berlepas. Sementara itu terdapat foto yang diambil di tempat kejadian menunjukkan pasport antarabangsa British, Amerika dan juga Malaysia antara yang ditemui bertaburan. Pesawat MAS itu dikatakan ditembak jatuh menggunakan peluru torpedo buatan Rusia.