suria

Kecanggihan Teknologi Hakis Amalan Kiriman Kad Raya

KUALA LUMPUR: Kebelakangan ini, menjadi suatu keterujaan apabila seseorang itu menerima kad Hari Raya kerana amalan penghantaran kad ini telah diambil alih oleh kiriman ucapan melalui teknologi maklumat atau telefon pintar.

Dahulu kad raya yang diterima dalam pelbagai bentuk, lukisan, corak, kata-kata madah cinta dan bermuzik yang banyak diterima akan dijadikan perhiasan dalam pelbagai rupa.

Kini ucapan dan kad yang dikirim secara maya, menghiasi telefon masing-masing melalui SMS, Whatsapp, Facebook, Twitter dan Instagram.

Dalam tinjauan rambang Bernama, golongan generasi muda mengakui mereka tidak lagi membeli kad raya malah menganggap penghantaran kad raya sebagai suatu yang ketinggalan zaman.

Anis Nasuha Zakaria, 19, berkata beliau tidak berminat untuk membeli kad raya kerana ia melibatkan kos, terpaksa menulis tangan dan diposkan pula.

"Sekarang ni zaman canggih, kita boleh muat turun macam-macam jenis ucapan yang menarik dan bergambar dan boleh hantar tanpa kos tambahan menerusi telefon pintar," katanya.

Penolong Pegawai Perancang Bandar di Kuala Lumpur, Norshazilawati Zamidi, 30, berkata, amalan pemberian kad raya sudah lama ditinggalkannya dan kali terakhir dihantarnya ialah pada 2004.

"Pada saya dah tak relevan hantar kad raya. Bagaimanapun, saya ada juga terima kad raya daripada kawan-kawan, jadi nak tak nak terpaksa balas dengan kad raya juga," katanya.

Beliau berkata, jika budaya menghantar kad raya itu mahu disuburkan semula, pihak tertentu haruslah menganjurkan kempen kad raya, terutama dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, penghantaran mesej raya di alam maya adalah relevan dan boleh diteruskan kerana mengikut peredaran masa, tetapi haruslah disasarkan kepada rakan taulan sahaja.

"Pada pendapat saya, kalau mahu hantar ucapan raya kepada golongan atasan atau korporat, di pejabat kita atau golongan yang lebih tua seperti bapa saudara dan sebagainya, kad raya lebih sesuai.

"Ini kerana ia mengandungi ungkapan atau mesej yang indah, melambangkan kemesraan dan rasa hormat," katanya.

Pakar bahasa itu juga berkata, sekiranya mahu menghantar ucapan raya melalui alam maya, termasuk aplikasi Whatsapp, orang ramai perlu menitikberatkan soal bahasa.

"Kita perlulah menjaga atau mengekalkan keindahan bahasa agar mesej yang ingin disampaikan membawa kesan yang baik kepada si penerima itu dan dapat mengeratkan lagi siraturrahim," katanya.

Bagaimanapun masih terdapat golongan yang gemar menghantar kad raya kerana menyifatkan ia budaya yang harus dikekalkan.

Nurhafza Mohamad Mustafa, 33, Guru Bahasa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, kecanggihan teknologi tidak pernah membataskannya untuk menggunakan 'cara lama'.

"Setiap tahun ada sahaja kawan yang menghantar kad raya kepada saya dan saya akan membalasnya. Bila saling menghantar dan membalas macam ni, timbul nostalgia atau 'feel' (rasa) hari raya itu.

"Sekarang ni suasana raya pun kurang dirasai tak macam zaman remaja dahulu, jadi saya ambil pendekatan hantar kad raya. Saya tak mahu budaya ni hilang begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata, walaupun penghantaran SMS raya menjimatkan masa dan wang, namun ia dilihat tidak ada 'nilai sentimental' kerana ia tidak boleh disimpan sebagai kenangan.

Bagi penjual kad raya, mereka menghadapi kemorosotan perniagaan ekoran semakin kurang orang yang membeli kad raya.

Seorang peniaga kedai buku di Pasar Seni, di sini, Norwahidah Hassan, 30, berkata penjualan kad raya dilihat berkurangan pada tahun ini berbanding tahun lepas.

"Pada tahun lepas, walaupun tak banyak dijual (kad raya), tapi masih ada peminatnya, tapi tahun ini susah sikit tengok orang beli kad raya...Mungkin senang hantar SMS saja," katanya.

Beliau berkata, sehingga pertengahan bulan Ramadan, jualan kad raya di kedainya belum sampai 50 peratus.

Seorang lagi peniaga, Mohamad Annas Zakaria berkata, kebanyakan pembeli kad raya adalah kaum wanita dan mereka memilih jenis kad yang mempunyai kata-kata nostalgia.

"Perniagaan kad raya bukan lagi seperti dulu, sekarang saya sendiri pun tidak ambil banyak kad untuk dijual kerana tidak begitu yakin kad itu akan laris," kata beliau. 

kad, ucapan, Hari Raya

Artikel Lain