Namun, katanya, amalan zakat fitrah di Malaysia boleh ditunaikan sejak hari pertama Ramadan.
"Ia lebih sesuai dilakukan sepanjang Ramadan kerana kesibukan seseorang mungkin menyebabkan mereka tidak sempat menunaikannya atau terlupa menunaikannya," katanya kepada mStar Online.
Tuan Asmawi berkata, Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada bicara yang tiada manfaatnya dan kata-kata kotor serta memberikan makanan kepada orang-orang miskin.
Jelas beliau, pada zaman dahulu, umat Islam memberikan zakat fitrahnya dalam bentuk makanan asasi kepada golongan fakir miskin, khususnya pada pagi Hari Raya.
"Pada hari ini, seiring dengan peredaran zaman, maka fuqaha mengharuskan ia ditukar kepada bentuk wang tunai demi memudahkan urusan penyimpanan dan pengagihannya," katanya.
Tuan Asmawi berkata, zakat fitrah adalah wajib yang mutlak di dalam Islam dan mengabaikannya adalah haram dan berdosa.
"Orang yang enggan berzakat kerana sengaja dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran," katanya.
Beliau berkata, jika seseorang itu terlupa, maka hendaklah segera menunaikannya walaupun sudah terlepas waktunya dan memohon ampun kepada Allah SWT diatas kelalaiannya.
Berikut adalah kadar zakat fitrah seluruh negeri di Malaysia bagi tahun 2014 bersamaan 1435 Hijrah seperti mana yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri:
Perlis - RM6.50
Kedah - RM7.00
Pulau Pinang - RM7.00
Perak - RM7.00
Selangor - RM7.00
Negeri Sembilan - RM6.50
Melaka - RM6.70
Johor - RM8.00/RM5.00*
Pahang - RM7.00
Terengganu - RM7.60/RM7.00/RM4.50*
Kelantan - RM7.00
Sarawak - RM7.00
Sabah - RM7.00
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya/Labuan - RM7.00
*Perbezaan kadar zakat fitrah di negeri Johor dan Terengganu adalah berdasarkan harga, gred dan jenis beras yang dimakan.