KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara secara amnya baik dengan Sri Aman satu-satunya kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada bacaan 117. Menurut laporan portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), 18 kawasan mencatatkan IPU sederhana antaranya Shah Alam (58), Seri Manjung (52), Alor Setar (53) dan Kuching (57). Sebanyak 33 kawasan lagi mencatatkan IPU baik termasuk Putrajaya, demikian menurut portal itu. Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 100 ke 200 (tidak sihat), 200 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.