KUALA LUMPUR: Sebelas rakyat Malaysia termasuk lapan pelajar, dua pegawai kedutaan dan seorang ahli perniagaan telah dipindahkan dari Tripoli ke Tunisia berikutan konflik dalaman yang berterusan di Libya. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata proses pemindahan keluar dari Tripoli ke Lapangan Terbang Misurata, Tunisia dijalankan pada 3 Ogos dan mereka akan diterbangkan ke Kuala Lumpur tidak lama lagi. "Terdapat 28 warga Malaysia menetap di Libya dengan 11 daripadanya adalah pelajar, 15 pekerja swasta dan dua pegawai kedutaan. "Daripada 11 pelajar itu, seorang telah meninggalkan Libya sebelum ini untuk menyambut Hari Raya di Malaysia sementara dua pelajar lagi memutuskan untuk terus berada di Libya dengan kebajikan dijaga oleh kolej mereka (International Islamic Call College)," katanya dalam kenyataan pada Selasa. Beliau berkata dua pelajar itu telah dipindahkan ke kawasan selamat di Zawiyah, kira-kira 30 kilometer dari Tripoli, manakala rakyat Malaysia lain yang bekerja di sektor swasta Libya dinasihatkan berpindah dengan secepat mungkin dengan majikan masing-masing menjaga keselamatan dan kebajikan mereka. Anifah berkata Kementerian Luar Negeri sedang bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Konsul Kehormat Malaysia di Tunisia untuk memastikan proses pemindahan itu berjalan lancar. Beliau berkata dengan pemindahan itu, Kedutaan Malaysia di Tripoli ditutup untuk sementara waktu dan Kedutaan Malaysia di Algeria ditugaskan untuk menjaga kepentingan Malaysia di Libya. "Semua warga Malaysia dinasihatkan tidak membuat perjalanan ke Libya. Kementerian Luar Negeri akan terus memantau dengan teliti perkembangan di Libya," katanya.