suria

Ahli Majlis PBT Dari PKR, DAP Masih Belum Dipecat - Iskandar

Iskandar Abdul Samad.
SHAH ALAM: Exco Perumahan Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad mendedahkan, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Selangor tidak akan dipecat buat masa ini.

Iskandar dan beberapa exco diserbu pemberita selepas mereka selesai menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Khamis.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang terlebih dahulu keluar, tidak banyak bercakap kepada media dan kelihatan sugul.

Beliau berkata, status Ahli Majlis PBT akan diumumkan kemudian.

Difahamkan, status Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor tidak dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut.

Ketika ditanya mengenai isu membabitkan Adun Batu Tiga daripada PKR, Rodziah Ismail, tiada sebarang reaksi diterima daripada Khalid atau Iskandar.

Namun, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata, perkara itu akan dibincangkan.

"Surat tersebut... (akan dikeluarkan)... sama seperti yang lain," katanya.

Rodziah, satu-satunya ahli exco yang masih belum dipecat Khalid, memilih untuk meletak jawatan pada Khamis.

Sementara itu, Datuk Teng Chang Khim merupakan bekas ahli exco pertama yang memulangkan kenderaan rasminya.

Kenderaan jenis Toyota Camry itu dipandu ke Bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan diletakkan di kawasan parkir ahli exco oleh pemandunya.

Artikel Lain