KOTA KINABALU: Seorang buruh ladang bertindak membakar kuarters pekerja selepas dia mengamuk di sebuah perkampungan terpencil di daerah Ranau, lewat malam Rabu. Sebuah Toyota Hilux yang diletakkan berhampiran kuarters tersebut musnah dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu. Sebelum insiden tersebut, lelaki berusia 53 tahun itu yang dipercayai mengalami masalah psikologi, berbogel dan meminta rakan sekerja untuk memukulnya di Kampung Mindohuon Lama yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pusat bandar. Saksi berkata, lelaki terbabit berjalan di hadapan kuarters pekerja itu dan bercakap sendirian sebelum melucutkan semua pakaiannya. Beberapa rakan suspek cuba menenangkannya ketika dia mula menjerit untuk meminta dipukul. Selepas bertenang, suspek meninggalkan kawasan tersebut. Namun, lelaki tersebut kemudiannya menyimbah kuarters tersebut dengan minyak petrol sebelum membakarnya. Pemangku Ketua Polis Daerah, ASP Rosley Hobden berkata, lelaki tersebut berjaya ditahan oleh orang ramai selepas insiden itu. Katanya, sepasukan polis dan bomba dikejarkan ke perkampungan tersebut selepas dimaklumkan mengenai insiden itu.