KUALA LUMPUR: Yayasan Felda memperkenalkan program kelas Bahasa Inggeris khusus kepada peneroka di Felda Jempol, Negeri Sembilan dalam mempromosikan kawasan mereka kepada pelancong dari luar negara. Pengarah Urusan merangkap Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Emel Faizal Mohd Mokhtar berkata ia selaras dengan hasrat agensi itu untuk mara setapak menuju ke arah perkembangan global. "Kelas dua kali seminggu itu telah dijalankan sejak sebulan lepas di Kolej Yayasan Felda Raja Alias, Jempol bagi membantu peneroka mempelajari bahasa berkenaan. "Ia dibahagikan kepada tiga silibus iaitu membaca, mendengar dan bertutur dengan silibus bertutur diberi keutamaan bagi membantu pelajar untuk lebih yakin ketika bercakap menggunakan bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Lebaran Kasih Yayasan Felda di sini, Khamis. Beliau berkata, yayasan berkenaan mendapatkan khidmat tenaga pengajar khas dari 'City and Guilds London' dan kelas berkenaan akan dijalankan selama empat bulan. Antara inisiatif yang dijalankan termasuk melalui teknik pembelajaran minda separa sedar dengan menubuhkan satu 'WhatsApp Group' sebagai medium berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan tenaga pengajar akan membetulkan kesalahan ayat mereka. Menurut Emel Faizal, kelas tersebut memberi impak yang baik dan sambutan yang menggalakkan daripada pelajar kerana kini mereka sudah mulai menggunakan beberapa perkataan bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka. "Dalam memperluaskan kelas ini ke kawasan Felda yang lain, program ini akan disemak semula bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dalam setiap pembelajaran selepas berakhirnya kelas pertama ini pada akhir Disember ini," katanya. Sementara itu, Emel Faizal berkata Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) membuka ruang kepada generasi baharu Felda untuk menikmati kehidupan yang lebih baik. Beliau berkata, struktur harga rumah dan permasalahan kewangan untuk memiliki rumah tersebut sedang disemak semula dan Felda sedang merancang bagi memudahkan urusan pinjaman. "Saya yakin perkara ini akan diuruskan dengan baik kerana Felda tidak akan menguruskan sebarang perkara yang tidak menguntungkan anggota generasi Felda itu sendiri," katanya.