SEBAGAI anak jati Selangor, apa yang berlaku ketika ini cukup menakutkan. Kemelut jawatan menteri besar Selangor wajib dilihat dalam konteks yang lebih besar dan bukan sekadar berlegar pada persoalan sama ada Tan Sri Khalid Ibrahim akan kekal atau disingkirkan. Rakyat di negeri selangor serta anak jati Selangor perlu bersedia menghadapi keadaan yang lebih teruk. Ini kerana negeri Selangor akan menjadi tanpa ketua (leaderless) dan hilang arah selama yang mungkin. Malah tidak mustahil akan kekal begitu sehingga PRU-14. Mari kita analisa kemungkinan yang bakal berlaku selepas daripada kemelut ini. Kita lihat dahulu senario jika Khalid kekal sebagai MB. Andai kata ini berlaku, beliau tidak akan dapat memerintah dengan lancar. Barisan exco, ahli majlis perbandaran tempatan serta ahli akar umbi tidak akan bersatu di bawah pemerintahan beliau. Sebarang dasar yang dikemukakan oleh Khalid bergantung kepada sokongan PAS yang buat masa ini kelihatan masih bersimpati dengannya dan juga parti lawan (Umno) kerana PKR dan DAP amat jelas sekali tidak lagi berada di belakang beliau. Oleh itu, apa jua dasar beliau tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dan kemungkinan untuk disabotaj oleh seterunya amatlah besar. Sebarang usaha untuk 'neutralise' mereka yang anti MB akan dilihat sebagai tidak demokratik dan akan ditentang. Pada akhirnya Khalid hanya menguruskan negeri seperti pekerja yang menanti usia saraan wajib lagi setahun dua. Tidak agresif, tiada visi dan main selamat. Tetapi adakah ini bermakna keadaan akan menjadi lebih baik sekiranya MB Selangor ditukar? Tidak semestinya, malah mungkin menjadi lebih teruk. Kini kita ambil senario jika Khalid berjaya digantikan. Penggantinya juga tidak akan mendapat sokongan penuh. Bukan sahaja MB baru tidak dapat melaksanakan visi beliau kerana perlu berkompromi, beliau pula terdedah dengan rampasan kuasa sepertimana yang boleh berlaku terhadap Khalid. Jika PKR boleh menukar MB mengikut cara belakang, apa jaminan pihak lain atau parti lain untuk tidak berbuat perkara yang sama? MB Selangor baru atau lebih tepat lagi Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berasa gelisah kerana pada bila-bila masa sahaja jawatan tersebut boleh bertukar tangan. Boleh jadi dirampas oleh Azmin Ali - yang kita semua tahu memang berhasratkan jawatan tersebut. Atau boleh juga dirampas oleh PAS - parti yang memiliki kerusi terbanyak. Atau mungkin kembali kepada Khalid semula. Barang diingat beliau masih lagi seorang ahli dewan walaupun kini berdiri atas kapasiti Bebas.Dalam politik yang sudah dicatur kotor, apa sahaja boleh berlaku. Jika inilah keadaannya, MB baru akan menghabiskan sebegitu banyak masanya untuk berpolitik, untuk menangani tentangan musuh dan untuk memikirkan strategi mengekalkan jawatan. Jadi bilakah masa MB baru akan mentadbir negeri? Situasi ini samalah seperti seorang CEO di syarikat yang bekerja hanya untuk memastikan pengerusi syarikat berasa gembira dengan harapan kontraknya akan disambung semula selepas tamat. Selain daripada kemungkinan yang telah disebutkan tadi, persoalan yang lebih tuntas adalah bagaimana Dr Wan Azizah mampu menangani isu-isu yang rumit seperti pengstrukturan industri air, pembinaan lebuh raya baru dan kerakusan ekstremis agama serta nafsu taikun-taikun korporat? Beliau tidak ada pengalaman dalam dunia korporat yang kompleks mahupun rekod yang cemerlang sebagai seorang presiden parti yang 'digeruni'. Suaminya - seorang ketua umum yang tidak dipilih melalui undi - yang lebih digeruni dan ditakuti oleh ahli-ahli parti dan juga anggota komponen pakatan yang lain berbanding dirinya. Menyedari hakikat ini, berkemungkinan besar, MB Selangor baru hanyalah MB di atas kertas tetapi MB sebenar adalah seorang tokoh di belakang tabir atau di sebelah bantal. Sudah jelas, Selangor akan menjadi kucar kacir. Tetapi yang lebih menyedihkan lagi apabila di sebalik kemelut politik ini, rakyat Selangor tidak akan menghukum Pakatan Rakyat. Macam mana hodoh pun perebutan kuasa yang berlaku, pengundi di Selangor tetap di belakang Pakatan Rakyat kerana mereka tidak ada pilihan dan alternatif. Barisan Nasional Selangor buat masa ini tidak dilihat sebagai alternatif yang setaraf dengan Pakatan Rakyat di negeri terkaya di Malaysia ini. Sehingga ke hari ini, masih tidak ada dan tidak boleh difikirkan siapakah calon yang setaraf Khalid untuk ditonjolkan sebagai MB Selangor. Pengerusi perhubungan negerinya masih orang yang sama. Malahan jentera parti juga gagal untuk menggunakan segala kepincangan yang berlaku di Selangor untuk mengukuhkan persepsi dan penerimaan terhadap parti mereka. Mungkin disebabkan ini juga menjelaskan mengapa mereka juga seperti tidak berminat untuk memerintah Selangor. Tanpa alternatif untuk rakyat di Selangor hanya membuktikan bahawa Selangor 'are really screwed' atau begitu kucar kacir. MB mereka yang mentadbir dengan bagus (‘sterling performamce’ bak kata Rafizi Ramli) ditukar. Penggantinya tidak setaraf. Parti alternatif pula tidak lebih bagus. Dan lebih memalukan, politik di Selangor ditentukan oleh orang luar dan bukan anak jati Selangor sendiri. Begitu lekehkah ahli politik yang merupakan anak jati selangor sehingga politik di negeri ini ditentukan oleh orang Permatang Pauh dan Kemaman? Bagaimana negeri yang paling maju dalam serba serbi ini begitu ketandusan calon yang berkualiti? Malang sungguh negeri terkaya dan termaju ini. > Mat Rodi atau Radzi Tajuddin, 24, adalah seorang graduan dalam bidang senibina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau adalah anak Selayang dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam ijazah sarjana di Manchester School of Architecture. Beliau juga adalah seorang penulis bebas dan kolumnis mStar.