MMC Gamuda dalam kenyataan pada Rabu berkata penutupan lorong sepanjang 60 meter itu akan dilaksanakan selama sebulan mulai Jumaat (22 Ogos) dari 11 malam hingga 6 pagi.
Pengguna jalan susur dari Lebuh Bandar Utama ke Lebuhraya LDP akan dilencongkan ke lorong paling kiri Lebuhraya LDP.
Sementara itu, penutupan pada waktu malam di Jalan Damansara dari persimpangan Jalan Tun Mohd Fuad (arah Lebuhraya KL/SPRINT) akan berterusan sehingga Ahad dari 11 malam hingga 6 pagi berikutan pemasangan kerangka besi bagi pembinaan rasuk tiang Stesen MRT TTDI.
"Pengguna dari Kepong ke Jalan Damansara boleh terus ke Persimpangan Bertingkat bawah TTDI menghala ke SS2 dan masuk ke Lebuhraya SPRINT di Persimpangan Bertingkat Damansara Utama.
Pengguna yang hendak ke Jalan Damansara pula boleh membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Tun Mohd Fuad dan terus ke Lebuhraya LDP (menghala SS2) untuk memasuki Lebuhraya SPRINT di Persimpangan Bertingkat Damansara Utama," kata kenyataan itu.
Pengguna di Lebuhraya LDP dari SS2 menghala ke Jalan Damansara akan dilencongkan ke Persimpangan Bertingkat Bandar Utama untuk membuat pusingan-U.
MMC Gamuda berkata jalan susur dari Lebuhraya LDP menghala ke Jalan Damansara akan ditutup sepenuhnya pada sebelah malam manakala penutupan satu lorong di Lebuhraya LDP sepanjang 50 meter selepas persimpangan Jalan Leong Yew Koh ke Persimpangan Bertingkat TTDI akan dilaksanakan selama enam malam bermula Ahad.