Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias berkata siasatan terhadap suspek berumur antara 20 hingga 33 tahun itu mendapati mereka melakukan kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam sejak dua tahun lepas.
"Berikutan tangkapan tersebut, polis merampas beberapa barangan yang digunakan untuk menyamun seperti topi keledar, parang, dan jaket.
"Kami masih menjejaki lagi empat orang anggota kumpulan "Geng Nose" yang masih bebas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini, Rabu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Azisman berkata polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah di sekitar Shah Alam apabila berjaya menahan seorang suspek berusia 30-an di Klang pada Isnin lepas.
Katanya, suspek diberkas kira-kira pukul 1.30 tengah hari apabila ditahan ketika memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dan hasil soal siasat membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Proton Satria yang dipercayai digunakan untuk melakukan kes pecah rumah.
"Suspek juga membawa polis ke beberapa buah kedai pajak gadai di kawasan Klang yang dipercayai membeli kesemua barang curi daripada suspek," katanya.
Azisman berkata modus operandi suspek adalah bergerak secara bersendirian dan menyasarkan pangsapuri dan kondominium yang tidak berpenghuni bagi melakukan kegiatan pecah rumah.
Katanya, suspek yang telah berumahtangga dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah sejak lima tahun lepas.