KUALA LUMPUR: Abu mayat Elisabeth Ng Lyeti mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dibawa pulang ke tanah air pada Jumaat, disimpan di Pusat Xiao En Bereavement di Cheras, sehingga dua lagi mayat anggota keluarganya dibawa balik. Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Pemasaran Pusat Xiao En, Sally Tan berkata, upacara selanjutnya akan dijalankan selepas dua lagi jasad insan tersayang mereka dikenal pasti dan dibawa pulang ke negara ini. "Upacara keagamaan di sini adalah secara tertutup, hanya anggota keluarga dibenarkan. "Tiga Sami Buddha menjalankan upacara keagamaan. Bekas abu disimpan di pusat ini sehingga mayat atau abu kakak dan anak kakaknya sampai. Ketiga-tiga (abu atau mayat itu) kelak akan dihantar ke Muar, Johor untuk upacara selanjutnya," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat. Abu mayat Ng yang dibawa oleh kenderaan jenazah tiba di perkarangan Pusat Xiao En Bereavement di Jalan Kuari, Cheras di sini, pada pukul 1 tengah hari. Abu itu diserahkan kepada kakak sulung dan abang ipar mendiang oleh pemandu kenderaan jenazah Kementerian Pertahanan, Chandran Kuttannair diiringi tiga Sami Buddha. Anggota keluarga beredar dari pusat berkenaan kira-kira 2.20 petang selepas upacara keagamaan itu. Media melaporkan Elisabeth Ng Lyeti menemani kakaknya Ng Shi Ing, 33, dan anak kakaknya berusia satu tahun ke luar negara kerana kakaknya membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antwerp CALL 2014 di Universiti Antwerp, Belgium. Ng Shi Ing merupakan pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan jurusan Teaching English as a Second Language (TESL). Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh.