suria

Krisis Politik Selangor: Perwakilan AMK Kecewa

SHAH ALAM: Rata-rata perwakilan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) melahirkan rasa kecewa dengan krisis politik di Selangor membabitkan kerusi menteri besar.

Bosan kerana krisis berkenaan dibiarkan berlarutan sejak beberapa bulan lalu, perwakilan AMK menggesa supaya parti itu segera menangani isu tersebut yang dianggap merugikan rakyat.

"Kami rakyat Selangor melalui satu proses yang amat mengerikan. Isu ini sudah berpanjangan sejak begitu lama.

"Jadi kami berharap isu ini tidak dibiarkan terus membelenggu kehidupan rakyat," kata perwakilan Selangor, Justin Raj.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua AMK di sini, Jumaat.

Sementara itu, perwakilan Melaka, Halim Abdullah berkata, isu penggantian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dilihat memberi imej buruk kepada PKR dan PR.

Malah katanya, ia turut dijadikan modal politik oleh parti lawan yang bertindak mengambil kesempatan terhadap masalah yang ditimbulkan PKR sendiri.

"Umno dan Barisan Nasional (BN) ambil peluang dengan melakukan pelbagai provokasi tentang isu ini.

"Pelbagai cara mereka gunakan, termasuk menggunakan isu jantina berhubung jawatan menteri besar," katanya.

Krisis politik Selangor membabitkan kerusi panas menteri besar sudah berlarutan sejak 'Langkah Kajang' dimulakan pada Mac lalu yang bertujuan menggantikan Khalid.

Lebih merumitkan apabila Khalid enggan meletak jawatan walaupun diarahkan PKR untuk digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PKR terus berhadapan masalah apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyatakan sokongan terbuka supaya Khalid terus kekal sebagai menteri besar.



AMK, Selangor, Justin Raj

Artikel Lain