suria

MH17: Jenazah Dua Beranak Disemadikan Di Semariang

Jenazah Ariza Ghazalee dan anak lelakinya Muhammad Afif tambi, disembahyangkan di Masjid Jamek di Kuching pada Jumaat. Foto ZULAZHAR SHEBLEE / THE STAR

KUCHING: Jenazah dua beranak, Ariza Ghazalee dan Muhammad Afif Tambi, disolatkan di Masjid Jamek Petrajaya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, Jumaat.

Ariza , 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif, 19, adalah antara 20 jenazah mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Penerbangan MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang dari Amsterdam pada Jumaat.

Jenazah mereka kemudian dibawa pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kuching dan tiba di Pangkalan Udara TUDM di sini pada 2.22 petang.  

Dari pangkalan udara itu, jenazah mereka dibawa sebuah van ke Masjid Jamek Petrajaya di mana kira-kira 1,000 orang menunggu di masjid itu ketika van berkenaan tiba pada 3.25 petang dengan diiringi pasukan polis pengiring.

Dua jenazah itu kemudian ditempatkan di hadapan ruang solat sebelum Imam Besar Masjid Jamek Petrajaya Datuk Joji Suhaili memimpin bacaan Yaasin.

Turut berada di masjid itu ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, beberapa anggota Kabinet negeri serta anggota keluarga Ariza dan Muhammad Afif.

Joji kemudian memimpin solat jenazah dan suasana menjadi hening seketika ketika beliau membaca doa buat kedua-dua arwah dalam bahasa Malaysia.

Jenazah dua beranak itu kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Semariang untuk disemadikan.

Ariza bersama suaminya Tambi Jiee, 49, dan semua anak mereka - Muhammad Afif, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13 - terkorban dalam tragedi pada 17 Julai lepas itu.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine selepas ditembak jatuh pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Lain