suria

Jenazah Ariza & Anak Sulung Tiba di Kuching

Gambar yang diambil dari album keluarga Ariza Ghazalee (dua, kanan) di mana kesemua mereka terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine. - Foto BERNAMA.
KUCHING: Jenazah dua penumpang nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif Tambi, 19, tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam di Semariang.

Sebaik sahaja pesawat Charlie C130 milik TUDM yang membawa jenazah itu mendarat kira-kira 2.17 petang tadi, sepasukan anggota tentera daripada Rejimen Keempat Kor Amor Diraja dilihat memasuki pesawat untuk mengusung keluar dua keranda berkenaan.

Dua keranda itu kemudiannya diusung perlahan-perlahan untuk dibawa masuk ke van jenazah untuk dibawa ke Masjid Jamek, Petra Jaya untuk disembahyangkan, sebelum dibawa ke Semariang untuk dikebumikan.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman, ibu Ariza, Jamilah Noriah Abang Anuar, 72, serta sanak saudara keluarga mangsa.

Bacaan doa kemudiannnya dilafazkan oleh Ustaz Mustapa Kamal daripada Pejabat Majlis Islam Sarawak sebelum van berlepas menuju ke Masjid Jamek, dengan diiringi pasukan polis pengiring.
 
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bersama beberapa anggota barisan kabinet negeri berada di Masjid Jamek Petra Jaya untuk menunaikan solat jenazah serta memberikan penghormatan terakhir.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam apabila ia terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 bersama 298 orang itu ditembak, tetapi setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. Empat puluh tiga daripada mereka yang terkorban dalam kejadian itu adalah rakyat Malaysia.

Ariza seorang jurutera dengan Lembaga Pembangunan Bintulu bersama suaminya Tambi Jiee, 49, dan semua anak mereka; Muhammad Afif, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13, adalah antara yang terkorban dalam tragedi itu.
MH17, MAS

Artikel Lain