KUALA LUMPUR: "Saya bangga menjadi anak Malaysia", begitulah suara majoriti remaja yang menyertai raptai perarakan sempena Hari Kemerdekaan ke-57 yang bakal disambut Ahad ini. "Selepas rakyat Malaysia merdeka, kita ada kebebasan untuk diri sendiri tanpa dikawal oleh orang lain (penjajah) dan kita harus bersatu padu untuk mengekalkan kebebasan ini," kata Meshalini, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Muda, Shah Alam yang menyertai acara raptai itu di Dataran Merdeka di sini, Rabu. Sri Mathi Balakrishnan, 16, pula berkata kemerdekaan melambangkan keharmonian di antara kaum di Malaysia yang wujud buat sekian lamanya. "Saya bangga menjadi anak Malaysia, walaupun berbza kaum, kita masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris selain bercampur gaul dengan pelbagai kaum," katanya kepada Bernama. Seramai 2,250 pelajar bersama guru dari 57 sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menyertai acara raptai itu, yang bermula 7.30 pagi dan berakhir 3 petang tadi. Pelajar berusia antara 13 dan 16 tahun itu menjalani latihan sejak 6 Ogos lepas. Bagi Maisara Hadija, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, kemerdekaan bermakna kebebasan untuk rakyat Malaysia dalam melakukan apa sahaja namun ada batasannya. "Contohnya dengan laman sosial di mana kita boleh menyuarakan pendapat, tetapi jangan disalahgunakan kebebasan itu," katanya. Lee Ming Yao, 15, pula seronok menyertai program perarakan tahun ini kerana ia adalah platform untuk menunjukkan semangat patriotismenya kepada negara. "Saya gembira terlibat dalam perarakan ini dan berbangga dapat menyertai program ini untuk menunjukkan rasa penghargaan dan cinta terhadap Malaysia," katanya. Michael Kong, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Klang Utama, Klang juga seronok diberi peluang menyertai perarakan itu walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca panas. "Memang seronok dapat sertai acara ini sebab dapat menjalinkan hubungan yang rapat dengan rakan-rakan pelbagai kaum selain berbakti kepada Malaysia," katanya. Sementara itu, pelancong asing turut menyaksikan raptai itu dan kagum melihat semangat yang ditonjolkan remaja negara bagi meraikan hari Kemerdekaan. "Saya kagum dengan renaja ini yang komited melakukan aksi masing-masing dengan penuh semangat patriotisme," kata Helen Gardiner, 60, dari Australia. Gerard Hollister, 45, dari London, England beliau mahu menyaksikan perarakan kemerdekaan pada Ahad ini kerana telah dimaklumkan bahawa ia unik dan amat istimewa.